skdh slideshow

Sk Darulaman Heights, Jitra Kedah Slideshow: Skdhjitra.blogspot’s trip to Jitra, Kedah (near Alor Setar), Kedah, Malaysia was created by TripAdvisor. See another Alor Setar slideshow. Create a free slideshow with music from your travel photos.

Maulidur Rasul 1433/2012

Sambutan Maulidur Rasul 1433/2012 Slideshow: SK’s trip to Jitra (near Alor Setar), Kedah, Malaysia was created by TripAdvisor. See another Alor Setar slideshow. Create your own stunning free slideshow from your travel photos.

Friday 10 February 2012

DISIPLIN TERAS KEJAYAAN

Disiplin teras kejayaan ialah rangkuman konsep yang menyatakan suatu sistem tatacara 
mengurus diri yang betul pasti menatijahkan kejayaan dalam setiap urusan dan tindakan 
kita. Oleh itu, disiplin menjadi jurupandu untuk seseorang memperoleh kejayaan 
dalam mencapai sesuatu sama ada belajar, bekerja dan melunaskan rutin harian kita. Pesan 
orang tua-tua yang berbunyi, “Mengaji dari alif, membilang dari esa, hujan berpokok, 
dan kata berpangkal” jelas menunjukkan bahawa segala-galanya perlu melalui suatu 
proses dan sistem yang betul untuk meraih kejayaan kerana yang bulat tak datang 
bergolek, yang pipih tak datang melayang.

Sejarah telah menjadi sumber rujukan yang paling penting kepada kita akan kejayaan 
tokoh-tokoh yang terkemuka. Kejayaan yang telah dikecapi oleh mereka adalah dengan 
berkat disiplin yang tinggi. Sama ada dalam bidang keilmuan atau kerjaya semuanya 
memerlukan disiplin. Lihatlah betapa sengsaranya Thomas Alva Edison dalam 
usahanya untuk menyumbangkan cahaya kepada alam sejagat. Beliau memerlukan
ketelitian dan disiplin yang amat tinggi. Begitulah tokoh-tokoh dalam bidang 
keilmuan seperti Socrates, Plato, Aristotle, Imam Al Ghazali, Imam Shafie dan sebagainya. 
Mereka bangkit sebagai personaliti dunia yang menyemarakkan budaya ilmu melalui 
disiplin yang tinggi. Jadi, jelaslah bahawa disiplin yang tinggi akan memberikan peluang
 kepada setiap individu untuk mencapai kejayaan yang diingini tanpa rasa mustahil.

Ketika sedang mendaki tangga kejayaan, ingatlah tiada tonik lain yang lebih mujarab 
yang boleh membantu kita mencapai matlamat. Tanpa disiplin hasrat kita akan terbantut, 
urusan kita tidak langsai, justeru impian kita akan berkecai. Kita akan kecundang di 
tengah-tengah medan perjuangan. Kita perlu bermuhasabah diri untuk memilih 
segala-gala yang baik dengan mengetepikan perkara-perkara yang dangkal. Uruslah 
diri kita dengan merancang masa dengan bijak dan mengurus personel yang baik. Kita 
perlu memiliki hala tuju yang betul, cita-cita yang jelas, dan sanggup menterjemahkan 
matlamat hidup dalam perancangan yang teliti. Dengan sumber ini, kita pasti berjaya.

Ingatlah, untuk berjaya kita mesti merancang sistem belajar yang betul, memiliki 
rutin harian yang terancang, dan sentiasa meletakkan perkara-perkara yang positif 
sebagai keutamaan. Bayangkanlah! Tanpa disiplin, berapa banyakkah masa yang 
dibazirkan untuk menekan butang telefon semata-mata berceloteh dalam sistem 
pesanan ringkas (SMS)? Tanpa disiplin, berapakah lama masa yang berlalu dengan
 hanya asyik berserakah dengan rakan-rakan? Tanpa disiplin, kita disesatkan 
dek terlalu kemaruk melayari laman sosial seperti Facebook, Twitter, dan My Space. 
Sumber yang pada asalnya boleh membawa natijah positif, malangnya terbalik 
kerana ketiadaan disiplin. Semakin lama kita melayani perkara-perkara yang 
membazir, justeru semakin jauhlah kita dihanyutkan oleh ilusi tanpa realiti. Kita telah 
membazir masa dan usia, bak seratus tahun bah melanda kapar tetap tidak berlalu. 
Sesungguhnya, disiplin diri yang tinggi tidak akan mensia-siakan masa kita 
dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah kerana masa itu emas seperti maksud 
yang terkandung dalam firman Allah S.W.T. dalam surah al-Asr.

Peribahasa menyatakan bahawa meminta pada yang ada, bertanya pada 
yang tahu dantuah jangan ditolak, rezeki harus dituntut. Masa dan 
peluang harus kita kejar. Demi menjadi insan yang berguna pada masa depan, uruslah 
disiplin dengan cara yang terbaik. Rujukan kita mestilah kepada tokoh-tokoh 
yang telah berjaya. Merekalah yang sepatutnya menjadi idola kita. Gerak dan langkah 
mereka, cara mereka berfikir dan cara mereka merancang hidup hendaklah 
dijadikan panduan. Mereka yang telah berjaya mungkin para pemimpin, para guru, malah
rakan-rakan kita. Kita wajar memiliki perasaan cemburu terhadap kejayaan orang lain 
demi menyaingi mereka secara sihat. Persaingan yang positif pasti akan membuahkan 
hasil yang positif dalam memburu kejayaan.


Setelah kita menyediakan strategi memburu kejayaan secara terancang, kita juga perlu 
berhati-hati kerana dalam setiap masa dan apa-apa keadaan pun pelbagai dugaan boleh 
mengancam konsentrasi. Oleh itu, jauhilah parasit dan pengaruh yang boleh merosakkan 
diri. Orang-orang yang tidak berdisiplin sentiasa berdamping dengan program-program 
yang tidak berfaedah. Berwaspadalah terhadap pengaruh hiburan yang berlebih-lebihan. 
Elakkan bergaul dengan rakan-rakan yang tidak mempunyai maltlamat dan hilang jati diri. 
Elakkan diri terjebak dengan kegiatan negatif seperti melepak, berpelesiran, lumba haram 
dan seribu satu macam lagi angkara antimoral yang sedang menunggu untuk 
menjeratkan kita. Semuanya akan tercapai sekiranya kita memiliki disiplin diri yang teguh.

Sesungguhnya peribahasa ingat sebelum kena, jimat sebelum habis benar-benar 
mendidik kita untuk mendisiplinkan diri. Tanpa disiplin tiada sekelumit pun kejayaan 
yang bakal diraih. Jikalau inginkan kejayaan, berpeganglah kepada falsafah, 
'Disiplin Teras Kejayaan'. Semoga impian kita akan termakbul.

Credit To Cikgu Anelyza (anelyza.blogspot.com)